Habis semua buku-buku yang tersusun kemas di atas rak jatuh bertaburan. Kotak yang turut berisi buku-buku nota dan kertas-kertas projek zaman universitinya pun habis diselongkar. Namun, benda yang dicarinya masih belum diketemui. Sambil membelek satu persatu buku, otaknya ligat berfikir.
“Mana aku letak benda tu?” Matanya melilau mencari disebalik longgokan buku dan kertas yang bertaburan. Satu keluhan berat dilepaskan. Bilik yang berhawa dingin itu kini dirasakan panas bagai orang baru pulang dari bertani di ladang. Dia mula mundar-mandir seorang diri di dalam bilik bagaikan orang kehilangan anak.
Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi.
“Assalamualaikum,” ujar suara di hujung talian. Namun suara itu sudah biasa kedengaran di gegendang telinganya. Suara itulah juga yang selalu dirinduinya tatkala tinggal berjauhan sejak dua tahun lalu. Terasa hilang segala kerunsingan yang bersarang di hati.
“Waalaikum salam, mak!” Jawabnya sambil tersenyum sendiri. Biarpun baru tiga hari lepas ibunya menelefon, dia tetap gembira menerima panggilan ibunya. Baginya, ibulah segala-galanya. Tempat dia mengadu nasib apabila dirundung masalah. Kadang kala masalah yang diceritakan memang tidak difahami oleh ibunya. Apa tidaknya, dia bercerita tentang masalah kerjanya sebagai seorang akauntan. Biarpun ibunya belajar setakat darjah enam, tetapi sekurang-kurangnya cerita tentang hutang, untung, duit masuk dan duit keluar bolehlah lagi difahami memandangkan ibunya berniaga nasi lemak semenjak abangnya dilahirkan lagi. Tetapi jika bercerita tentang masalah dengan kliennya, ibunya sering tersenyum. Ingat lagi dia akan kata-kata abangnya, ”Mak faham ke apa si Angah membebel tu? Along sendiri pun tak faham!”
“Sihat? Dah makan ke belum?” Seperti biasa, dia menerima soalan rutin itu setiap kali ibunya menelefon.
“Dah, lepas balik kerja tadi Angah singgah kedai makan,” jawabnya tenang. Dia tahu jika ibunya tahu dia belum makan lagi tentu ibunya bising bercakap itu dan ini. Tetapi petang itu lepas waktu pejabat cepat-cepat dia balik ke rumah. Ada perkara lebih penting dari makan. Kalaulah ibunya tahu...
“Tengok, asyik makan kedai aja. Membazir. Kalau kau kahwin sekarang, kan dah senang. Kerja sudah, beli kereta sudah, beli rumah pun sudah, bini kau masuk tinggal cuci kaki je tau! Itu pun susah?” Ibunya mula mengomel. Dia hanya diam mendengar bebelan ibunya yang tersayang.
“Adam, dengar tak mak cakap ni?”
“Ya, Angah dengar. Nanti kalau ada, adalah tu. Mak janganlah risau. Mesti ada orang nakkan Angah yang handsome ni!” Jawapan itu sudah berulang-ulang kali disuakan kepada ibunya. Biar ibunya bosan mendengar jawapan yang sama.
“Dengar konon. Mak dah penat bising-bising dengan kamu. Suka hati kamulah. Nanti jangan sampai kau suruh mak carikan calon untuk kau sudahlah,” perli ibunya. Adam ketawa mendengar. Dia tahu orang yang dimaksudkan ialah abangnya yang sulung. Dulu abangnya Zainal yang sering dipanggil Along sering bertukar-tukar teman wanita. Baru bulan lepas kenalkan seorang gadis kepada ibu, bulan depannya dia bawa gadis lain pula. Berbuih mulut ibunya menasihat. Akhirnya Zainal minta ibunya mencarikan calon dibuat isteri. Katanya semua gadis yang dikenali topeng dua muka. Depan tunjuk baik tetapi dekat belakang perangai hanya Tuhan yang tahu. Mujur pilihan ibunya diterima baik. Sekarang pun Zainal sedang menanti saat kelahiran anak keduanya. Ibu mereka memang pandai mencari calon untuk dikahwinkan dengan Zainal. Fauziah merupakan guru tadika baru di kampung mereka. Namun ibu Fauziah dan ibu mereka sudah lama saling mengenali. Dulu bukan main benci Fauziah dengan Zainal kerana sering mengganggunya balik sekolah. Tup-tup, sampai juga mereka ke jinjang pelamin.
Adam meletakkan semula telefonnya di atas meja. Dia termenung seketika mendengar bebelan ibunya sebentar tadi. Tiba-tiba saja perutnya berkeroncong minta diisi. Betul kata ibunya. Sesibuk mana pun kita, masa makan tetap kena makan. Dia mula membayangkan satay dan nasi goreng USA gerai Pak Noh. Lagi sedap lagi jika ditambah dengan teh ‘o’ ais limau. Cepat-cepat dia mengutip semua buku yang berselerak di atas meja lalu diletakkan semula ke atas rak.
Tanpa disengajakan, sebuah buku biru terlepas dari pegangan tangannya. Sebuah sampul berwarna ungu terkeluar dari celah-celah muka surat buku itu. Sah, itulah benda yang dicari-carinya sejak dari tadi. Kalau bukan kerana mencari sampul surat yang satu itu, tentu dia sedang enak menikmati makan malamnya sekarang. Tetapi semua itu dilupakan semata-mata ingin mencari sebuah sampul berwarna ungu. Sampul yang berisi sekeping kad. Kad yang mengandungi janji seseorang yang bernama Zaria Farhana.
****** ******
1
“Adam, aku nak jemput kau datang ke majlis aku hujung bulan depan. Kau jangan buat-buat sibuk pula time tu!” Kata Nazri sambil menghulurkan kad jemputannya. Semerbak bau kad itu tatkala sampul dibuka.
“Wah, nampaknya berakhirlah status bujang kau! Tahniah Naz!” Ucap Adam sambil membaca kad tersebut. Fikirnya siapalah gadis bertuah yang menjadi pilihan rakan sekerjanya itu. Tentu orangnya cukup sempurna di mata Nazri. Jika sebelum ini banyak gadis-gadis cantik dan berjawatan hebat cuba memancing perhatiannya namun tiada seorang pun yang dapat menumpaskan keegoaan Nazri yang sememangnya cukup gemar mengkritik wanita. Dia masih ingat kata-kata Nazri tahun lalu selepas menghadiri majlis makan malam ajuran syarikat mereka.
“Zaman sekarang ni kau carilah perempuan mana yang tak pandang harta dan rupa? Bila aku kata aku kerja driver je tiba-tiba dia orang lesap. Tak faham betul aku. Ada yang baik semuanya dah berpunya. Entahlah...kalau aku lahir awal sikit maybe boleh dapat kot,” ujar Naz sambil memandu kereta BMW miliknya. Tapi bila Nazri memaklumkan dia akan berkahwin, itu merupakan satu berita hangat bagi sesetengah rakan-rakan rapatnya yang tahu perangai sebenar Nazri yang sangat memilih dalam hal-hal mencari jodoh. Walau bagaimana pun dia tumpang gembira kerana pencarian rakannya itu membuahkan hasil. Tidak sabar rasanya dia ingin bertemu bakal isteri Nazri.
“Hei, perempuan malang manalah yang jadi bini kau ni,” perli Adam sambil tersenyum. Dahinya tiba-tiba berkerut tatkala membaca nama yang tertera di atas kad. Zaria Farhana bt. Mukhriz. Nama itu seperti pernah didengar. Tetapi tidak mungkin Farhana yang dia kenali ketika di universiti dahulu. Tapi?
“Zaria Farhana? Macam pernah dengar la nama ni,” kata Adam sambil menunjukkan nama yang tertera pada kad tersebut. Nazri hanya tersenyum melihat rupa Adam yang kelihatan keliru.
“Iya ke? Dulu dia satu universiti dengan kau tapi dia ambil Mass Comm. Maybe jugak kau kenal,”jawab Nazri sambil menghirup teh tariknya. Bagi Nazri ini merupakan berita baik jika Adam sememangnya mengenali Zaria. Bolehlah dia bertanya pendapat tentang calon isteri pujaan hatinya kini.
Adam tergamam seketika. Segera dia terbayang wajah Farhana. Tak mungkin. Mana mungkin Farhana berpaling tadah dengannya sebegitu cepat. Farhana sudah berjanji. Apa yang terjadi? Getus hatinya.
“Err...kenal kot tapi aku dah lupalah yang mana satu. Tengok muka kenal kot?” Adam cuba menyembunyikan kegelisahannya.
“Tak apa. Nanti ada masa aku bawa dia berjumpa kau,”jawab Nazri sambil mengakhiri suapan nasi lemaknya. Adam hanya mampu tersenyum sumbing mendengar jawapan Nazri.
“Dia takkan mungkir janji,” bisik hati Adam.
“Eh, balik nanti kita singgah makan dekat depan The Mall nak? Fauzi kata ada restoran baru buka,” ujar Nazri mematikan lamunan Adam.
“A...aku ada hal sikit la lepas office nanti. Lain kali la,”jawab Adam tersekat-sekat. Entah mengapa dia merasa janggal untuk berterus terang dengan Nazri padahal mereka sudah lama berkawan. Mereka berdua diterima bekerja di Bank Negara pada hari yang sama beberapa tahun lalu. Memandangkan mereka berdua pemegang biasiswa Bank Negara, sebaik sahaja tamat pengajian mereka terus ditawarkan bekerja. Bezanya Nazri menjadi ketua operasi di bahagian perkhidmatan pelanggan manakala Adam sebagai akauntan.
“Betul ke ada restoran baru depan The Mall tu? Bukan ke depan tu McDonald? Depan mana pulak ni?” Adam cuba berlagak tenang. Bimbang kegelisahannya dapat dibaca oleh Nazri.
“Ya tak ya jugak! Nanti aku tanya Fauzi. Eh, kau ada hal apa petang ni? Dating ek?” Ujar Nazri cuba mengorek rahsia.
“Ha’ah. Aku ada date dengan anak Sultan Selangor,”jawab Adam sambil berseloroh.
“Kau kalau nak tipu pun berpada-padalah! Sultan Selangor mana ada anak perempuan. Engkau ni...ingat aku tak tau ke?” Balas Nazri diiringi gelak tawa mereka berdua.
************
Zaria melemparkan pandangannya ke luar jendela. Rasa gembira sebaik saja dimaklumkan oleh ibunya sebentar tadi bahawa baju yang ditempah dari Butik Salikin Sidek sudah siap dijahit. Sesungguhnya dia tidak sabar untuk menggayakan baju pilihannya pada hari persandingannya yang bakal tiba tidak lama lagi.
Langit mendung menandakan hari hendak hujan. Entah mengapa sehari dua ini Kuala Lumpur sering sahaja hujan. Rancangannya untuk keluar pun sering dibatalkan kerana cuaca yang tidak menentu. Namun jika kerana kerja, dia terpaksa juga keluar untuk membuat liputan. Kerja di bidang kewartawanan sememangnya mencabar dan memerlukan komitmen yang sangat tinggi. Tetapi bekerja di tanah air sendiri lebih mudah jika hendak dibandingkan di Moscow, tempat di mana dia ditugaskan tiga tahun lalu. Walau bagaimana pun Moscow telah meninggalkan banyak kenangan indah biar pun dia ditimpa kemalangan yang menyebabkan dia hilang separuh dari ingatannya. Mujur ada Aida sepupunya yang paling rapat tinggal di Moscow, bekerja sebagai doktor di sana. Dialah yang paling banyak membantu Zaria untuk mengingat kembali siapa dirinya. Dia yakin tiada satu pun cerita yang tertinggal. Setiap hari dia membaca diari lamanya agar setiap perkara yang telah berlaku berada di dalam ingatan seperti tiada apa-apa yang berlaku ke atas dirinya. Dia ingin memiliki kenangan lama sesempurna sebelum dia hilang ingatan.
Cuma Zaria hairan kerana Aida tidak membenarkan keluarganya mengetahui bahawa dia hilang ingatan. Kata Aida, ayahnya menghidap lemah jantung. Dia bimbang sekiranya perkara ini diketahui kelak mendatangkan kerisauan kepada ibubapanya. Cukuplah jika Zaria kata tak ingat, jika ada perkara lama yang diungkit oleh ahli keluarganya. Lagipun dia di Moscow selama tiga tahun. Cuma tahun terakhirnya di Moscow dihabiskan dengan menjalani rawatan. Dia memohon cuti tanpa gaji sepanjang tempoh setahun itu.
Perkenalannya dengan bakal suami terjadi kira-kira 8 bulan yang lalu di sebuah pusat membeli belah di ibu kota. Mulanya Zaria ingin membeli CD penyanyi kegemarannya. Apabila dia menggapai sahaja CD tersebut ada tangan yang terlebih dahulu yang mencapainya. Kecewa sungguh apabila diberitahu oleh penjual bahawa mereka sudah kehabisan stok. Namun tanpa diduga lelaki tersebut menghulurkan CD yang telah pun dibelinya tadi. Sejak hari itulah mereka saling mengenali dan tidak semena-mena hubungan mereka semakin rapat. Sehingga akhirnya pada suatu hari dia melamar Zaria. Terasa bertuah kerana jalan cerita cintanya tidak serumit kisah telenovela. Mungkin inilah rahmat dan rezeki Tuhan. Zaria tersenyum sendirian. Di luar, hujan rintik-rintik mula turun membasahi bumi.
**********************************************
”Ain,” Adam melambai Ain yang sedang duduk di satu sudut.
” Hah, datang pun! Aku ingat kau tersesat kat mana-mana tadi,” balas Ain sambil menghirup air teh tarik.
” Amboi, pekena teh tarik! Aku punya mana? Dahaga ni,” ujar Adam sambil memanggil pelayan restoran.
” Kau lambat sangat. Aku minum la dulu,” jawab Ain selamba.
” Apa hal kau nak jumpa aku sangat ni?” Perbualan mereka terhenti apabila pelayan datang membawa minuman yang dipesan oleh Adam tadi.
” Kau tahu cerita pasal Farhana tak?” Adam memulakan bicara.
Ain terdiam.
” Dia nak kahwin. Dengan kawan aku.”
Ain terkedu sambil memandang Adam.
” Kau jangan la pandang aku macam nak makan orang!” Adam menyembunyikan keresahannya dengan ketawa.
” Memang aku tau dia nak kahwin. Tapi tak sangka kau kenal bakal suami dia!” Ain berkata sambil mengerutkan dahinya.
” Kau ada jumpa dia tak lately?” Tanya Adam.
” Sejak dia balik dari Moscow, sekali je aku terserempak dengan dia. Dua bulan lepas. Dia dah lain la.” ujar Ain bersungguh-sungguh.
” Lain? Lain macamana?” Adam kehairanan.
” Mula-mula dia tak cam aku. Bila aku tegur dia macam dah lupa siapa aku. Hairan jugak aku waktu tu. Terasa hati pun ada. Takkan tiga tahun tak jumpa dah lupa,” ujar Ain lagi.
” Pelik jugak! Kau rasa dia masih ingat dekat aku tak?” Adam bermain-main dengan penyedut minumannya.
” Apa kata kau jumpa sendiri dia?” Ain memberi cadangan.
” Untuk apa? Dia dah nak kahwin Ain,” Adam melepaskan helaan. Suasana di Restoran Al-Razzi itu semakin bingit dengan riuh rendah pelanggan menikmati sarapan pagi.
” Apa yang jadi sebenarnya sebelum dia pergi Moscow?” Ain cuba merungkai konflik antara mereka.
*************
No comments:
Post a Comment