Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Tuesday, June 03, 2008

Kehilangan (pt.1)

"Dah sampai?"

"Belum."

"Bila nak sampai ni?"

"Kejap lagi sampai la."


Panahan cahaya mentari terus membakar kulit putih Jojo. Man tahu Jojo kepanasan. Rimas bila digigit nyamuk dan agas. Habis merah-merah telinga dan lengan Jojo. Tapi perjalanan itu harus diteruskan. Jika tertangguh, mereka akan terlewat.


"Angah, Jojo dah penat ni! Berhenti kejap boleh?" Jojo menarik-narik lengan baju Man. Terasa kasihan melihat adiknya yang berpeluh-peluh dan tercungap-cungap kepenatan. Melihat jam di tangan, tepat menunjukkan jam 2 petang. Solat Zuhornya masih belum tertunai.


"Kita rehat bawah pokok tu sekejap," kata Man sambil menunding jari ke arah sebatang pokok hutan yang tingginya mencecah 10meter. Jojo menggaru celah-celah jari kakinya yang gatal. Rasa dahaga pula kerana berjalan jauh.

"Macamana ni Angah? Kata dari tadi dah nak sampai. Tak sampai-sampai pun?" rungut Jojo. Tangannya masih rancak menggaru bintik-bintik gigitan nyamuk.

"Sabarlah sikit. Tadi Jojo jugak yang nak ikut, kan?" Suara Man mula meninggi.

"Jomlah, nanti lambat sampai susah kita," Man mula berdiri semula sambil membersihkan habuk-habuk yang melekat pada seluarnya.

"Jojo penatlah! Duduklah kejap," ujar Jojo bersungguh-sungguh. Man menyapu keringat di dahinya dengan lengan baju.

"Kita dah lambatlah, Jojo. Cepatlah!" Man mula mengorak langkah menyusuri celah-celah anak pokok yang tumbuh meliar di hadapannya. Jojo dibiarkan berjalan lambat-lambat di belakang. Man tahu Jojo pura-pura merajuk.

"Suka hati kaulah, Jojo!" Hatinya mula mengomel. Langkahan Man semakin laju. Dia tidak sabar tiba ke destinasi yang dituju. Man yakin, sekejap lagi tentu mereka sampai ke tempatnya. Tempat yang pernah atuk bawa mereka, sekali sewaktu mereka pulang ke kampung pada cuti sekolah yang lepas. Man masih ingat jalan ke tempat itu. Man yakin.


"Aduh!" Man jatuh terjelepok ke tanah. Lutut kanannya dirasakan sangat perit.

"Tak guna punya batu!" Man menyumpah seketul batu sebesar tapak tangan yang menyebabkannya jatuh dan terseliuh di ibu jari kaki kanan. Diurut-urut untuk melegakan kesakitan, namun makin dipicit makin sakit.

Man menoleh ke belakang.

"Jojo!" Kelibat Jojo tidak kelihatan. Kedengaran cuma bunyi unggas hutan dan cengkerik yang membingitkan telinga. Man panik seketika.

"Jojo, cepat sini! Kaki Angah terseliuh ni," Man membelek ibu jari kakinya yang mula membengkak. Namun panggilannya tetap tidak bersahut.

"Jojo, cepatlah!" Man menjerit kuat-kuat. Namun, masih tidak kelihatan kelibat Jojo. Perlahan-lahan Man berdiri.

"Jojo!" Man menjerit lagi. Dua tiga kali dia memekik memanggil nama adiknya namun masih tiada jawapan. Man mula berpatah balik ke belakang. Tidak semena-mena hatinya mula dipagut kegusaran. Bimbang jika adiknya itu benar-benar hilang. Langkahan Man semakin perlahan kerana kakinya bertambah sakit. Namun, Jojo masih tidak kelihatan.

"Mana kau ni Jojo?" Man semakin bingung apatah lagi pokok tempat mereka berhenti seketika tadi tidak dijumpai. Untuk berpatah balik pun Man mula tidak pasti arahnya.


Penat berjalan akhirnya Man terdengar bunyi air tidak jauh dari tempatnya berdiri kini. Ada sebatang sungai mengalir deras. Airnya jernih dan bersih. Kesempatan ini Man mencedok sedikit air dengan tapak tangan lalu meminumnya bagi menghilangkan dahaga. Terasa mahu mengalir air mata kerana Jojo masih tidak dijumpai dan dia sendiri tersesat di dalam hutan.

Berkali-kali Man menyesali perbuatannya membiarkan Jojo berjalan seorang di belakang tadi. Man menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Fikirannya berputar ligat. Mungkinkah adiknya disorokkan penunggu atau orang bunian? Nenek pernah melarang mereka masuk ke dalam hutan dahulu kerana katanya ada penunggu. Tiba-tiba saja bulu tengkuk Man mula meremang.


"Ah, mana ada hantu zaman moden macam ni? Mesti Jojo ada bawah pokok tadi. Dia tertidur agaknya!" Man menyedapkan hati yang kerisauan. Fikirnya, pokok tadi harus dicari. Jojo pasti ada di situ lagi.

Man menyusuri sungai seketika sebelum masuk kembali ke dalam hutan. Kini, dia tidak kisah jika tidak sampai ke tempat yang dituju asalkan dapat berjumpa dengan adiknya semula. Jojo mesti dicari!

***********************************************************************

"Macamana ni bang? Kalau mereka tak jumpa Man?" Zaharah menitiskan air matanya lagi. Apa yang sebenarnya berlaku kepada Man? Bagaimana jika dia terjatuh ke dalam gaung atau diserang binatang buas di dalam hutan? Fikiran Zaharah mula tidak keruan. Awal-awal pagi tadi dia sudah menelefon anaknya yang sulung memaklumkan berita kehilangan Man. Katanya petang baru dia akan tiba dari Jepun seorang diri. Menantunya tidak dapat ikut sama kerana outstation.


Zaharah tidak mahu peristiwa lima tahun lalu berulang kembali. Empat tahun lalu mereka telah kehilangan Johan, anak bongsu mereka dalam satu kemalangan jalan raya. Zaharah tahu, anak keduanya itu mendapat tamparan hebat atas kematian Johan atau nama timangannya Jojo. Man yang mengajak Jojo untuk mengikutnya menaiki motor atuk. Katanya ingin meronda keliling kampung. Namun sejam kemudian seorang penduduk kampung datang tergesa-gesa memaklumkan anaknya kemalangan dengan sebuah lori membawa muatan kelapa. Setibanya di hospital, Jojo disahkan meninggal dunia. Man pula patah kaki kanan.


Lama juga Man tidak bersekolah bagi mengubati kakinya yang patah dan trauma akibat kehilangan adiknya. Tapi itu kisah lima tahun lalu semasa Man di sekolah menengah. Dr. Yunus, pakar kaunseling yang merawat Man mengatakan Man telah pulih sepenuhnya. Keputusan SPM Man yang cemerlang membuktikan dia telah dapat menerima qada dan qadar dari Allah. Man tiada lagi masalah trauma atau tekanan jiwa akibat peristiwa lalu.


"Pihak universiti berbanyak-banyak memohon maaf kepada Encik Kamarudin sekeluarga. Kami tak sangka yang Azman boleh hilang," Prof. Hamdan berjabat tangan dengan Kamarudin. Setahu Hamdan, anak didiknya Azman seorang yang periang dan dedikasi terhadap tugasan yang diberi. Amat jarang dia melanggar peraturan. Tiba-tiba sahaja pagi semalam sewaktu mereka menjalankan kajian tentang tumbuhan hutan, pelajarnya memberitahu yang Azman tiada di khemah.Gerakan mencari sudah tiga puluh empat jam semenjak dari masa dia disahkan hilang.

"Sabarlah makcik. Moga-moga mereka jumpa Azman semula," rakan-rakan Azman cuba memberi sokongan.

Bunyi kicau burung dari kaki bukit Hutan Simpan Belum tidak dapat menenangkan hati Kamarudin. Selagi anaknya tidak dijumpai dia tidak mampu untuk bertenang. Cuma sebagai ketua keluarga dia harus tabah dan menunjukkan sikap kuat di mata isteri dan anak sulungnya. Dia tidak mahu keluarganya bersedih lagi.

"Tuan, mereka sudah sampai ke kawasan T10, tuan!" Seorang lelaki berpakaian tentera darat memaklumkan kepada Sarjan Ahmad, pegawai tentera yang mengetuai misi mencari Azman.

"Teruskan sampai kawasan T13. Maklumkan perkembangan selanjutnya kemudian," Sarjan Ahmad memberikan arahan.

Kamarudin memandang isterinya. Jam menunjukkan pukul 4 petang. Bagaimana agaknya keadaan Azman? Mampukah dia bertahan tanpa bekalan makanan dan minuman?

Bersambung.......


No comments: