Waktu aku tingkatan 2, aku pernah diserang demam panas. Memandangkan aku jarang sakit, demam adalah waktu yang paling sukar untuk aku. Lebih-lebih lagi bila di asrama. Jadi, aku ikut trip sekolah pergi ke HKL. Sampai di hospital, aku blur. Jadi aku ikut saja mana orang ramai pergi sebab aku seorang je tingkatan 2 waktu tu. Yang lain senior. HKL.. bayangkan berapa ratus orang menunggu giliran untuk berjumpa doktor? Kepala aku mula terasa berat. Tekak aku kering. Nak je aku pergi kantin hospital untuk beli air. Tapi baru aku teringat, dalam dompet aku cuma ada RM2 sahaja. Itulah duit aku nak guna sebelum sampai hujung minggu tu. Aku menggigil seorang diri. Mampu ke aku bertahan? Aku cuma nak seteguk air je.
Alhamdulillah, aku mampu mengharungi hari itu. Tapi 3 hari aku terlantar kat bilik sakit tak mampu berdiri. Aku mintak warden pesan kat dewan makan buatkan aku bubur sebab aku tak lalu nak makan. So dorm mate aku yang akan hantar bubur kat aku setiap hari. Tiap-tiap malam warden datang pegang dahi aku, tuam dengan tuala basah, tanya dah makan ubat ke belum..
Itulah demam panas paling kronik dan terakhir aku pernah alami. Alhamdulillah, sampai hari ni aku tak lagi diserang demam panas. Sebab pengalaman demam panas aku sangat 'menyedihkan'. Mak pernah cakap, dulu aku kecik, bila aku demam je aku akan meracau. Aku akan menangis sampai orang tengok aku rasa macam 'seksa' sangat.
Alhamdulillah!
Sampai hari ni aku tak pernah demam panas lagi. Walaupun Allah beri aku penyakit yang kadang-kadang tak tertanggung sakitnya, aku tetap bersyukur dan menganggap itu peringatan untuk aku tentang saat kematian. Mati yang tak tahu bila masanya dan di mana tempatnya.
Adakah aku pernah menyakiti hati sesiapa? Jika ada, sedar atau tidak mohon maafkan aku. Aku cuma manusia biasa yang terhad kesabaran hati. Banyak perkara yang buat aku marah. Banyak perkara yang buat aku geram. Tapi aku tak pernah membenci. Aku anggap semua yang berlaku ada hikmah tersendiri dari Allah. Jalan yang aku lalui semua menemukan aku dengan takdir hari ini.
Alhamdulillah!
Dulu aku sering keluh kesah tentang betapa sunyinya hati ini. Terasa ingin dicintai oleh seorang kekasih. Bercita-cita mempunyai kekasih yang boleh menggembirakan hari-hari yang suram. Bila rasa cinta itu datang mengetuk pintu hati, aku rasakan akulah manusia paling bahagia di atas muka bumi. Terasa ada separuh lagi hatiku menanti di hujung sana. Tapi percaturan Allah itu Maha Hebat. Sedalam mana cinta aku itu tak mampu mengubah takdir. Sekuat mana aku berusaha mempertahankan cinta sekalipun, jika Allah telah menetapkan aku harus tinggalkan rasa cinta itu.. maka tinggallah ia. Aku tau rasa marah masih berbekas. Marah kerana tak pernah dihargai, tapi siapalah aku. Umpama melukut di tepi gantang! Terasa bagai dihina. Tapi itulah perasaan manusia bila patah hati. Bukan sesuatu yang luar biasa bila berperasaan begitu. Memang sakit tapi percayalah, setiap yang berlaku ada hikmahnya.
Alhamdulillah!
Hari ini cinta aku dibalas tanpa berbelah bagi. Semoga aku mampu menundukkan keangkuhan aku mencari cinta yang paling sempurna. Kerana cinta sempurna itu milik Allah satu.